PENYAKIT TANGAN, KAKI DAN MULUT (HFMD)
1. Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (Hand Foot Mouth Disease, HFMD) yang lazimnya berlaku di kalangan kanak-kanak berusia kurang daripada 10 tahun. Ianya disebabkan oleh virus daripada kumpulan enterovirus yang tergolong di dalam keluarga picornavirus. Sebanyak 67 serotypes manusia yang terdiri daripada 3 serotypes poliovirus, 23 serotypes Coxsackie A, 6 serotypes Coxsackie B, 31 serotypes Echovirus dan enterovirus 68 hingga 71. Daripada kumpulan enterovirus tersebut, majoriti jangkitan adalah disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV 71).
2. Kebiasaannya gejala HFMD adalah ringan (mild) dengan simptom demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Kanak-kanak juga boleh mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, muntah, cirit birit dan kurang selera makan. Kes HFMD yang disebabkan oleh jangkitan virus EV71 boleh meningkatkan risiko untuk mendapat komplikasi seperti encephalitis dan myocarditis.
3. Virus penyebab HFMD boleh terdapat di dalam kerongkong dan najis dan merebak melalui melalui sentuhan terus dengan air liur dan najis mereka yang berpenyakit. Penyakit ini cepat menular di kalangan kanak-kanak. Ia menjangkiti semua golongan umur tetapi majoriti kanakkanak berumur bawah 6 tahun adalah lebih berisiko. Tempoh inkubasi adalah antara 3-5 hari dan masa yang paling berisiko untuk menjangkiti orang lain adalah ketika sebelum dan selepas gejala timbul. Kanakkanak yang dijangkiti penyakit HFMD boleh menjadi punca jangkitan sehinggalah ruamnya kering. Majoriti kes mengalami gejala ringan dan sembuh dalam masa 5-7 hari.
4. Langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang telah diambil oleh Jabatan Kesihatan Negeri adalah seperti berikut:
i. Membuat siasatan ke atas setiap kes dan kluster yang dilaporkan supaya tindakan kawalan dan pencegahan dapat dilakukan.
ii. Memastikan semua Tadika, Taska dan Pra-Sekolah yang terlibat di dalam kluster HFMD ditutup selama 10 hari untuk tujuan memutuskan rantai jangkitan serta untuk tujuan pembersihan dan basmi kuman.
iii. Mengedarkan ’Garispanduan pengendalian kanak-kanak di Taska dan Pra-Sekolah’ kepada semua Pusat Penjagaan dan Pra-Sekolah.
iv. Meningkatkan pemantauan penyakit HFMD di seluruh daerah dengan memastikan pegawai perubatan yang merawat kes di peringkat hospital dan klinik kesihatan untuk melaporkannya.
v. Meningkatkan kerjasama dengan premis perubatan swasta untuk melaporkan kes.
vi. Mengedarkan nasihat kepada tadika. Taska atau pra sekolah yang terlibat. Nasihat tersebut seperti yang dilampirkan.
Chickenpox
Chickenpox atau cacar air adalah sejenis penyakit berjangkit disebabkan oleh virus yang dinamakan sebagai virus varicella-zoster (VZV). Karakter utama penyakit ini adalah lepuh berwarna merah pada kulit dan rasa gatal. Selepas beberapa hari, lepuh tersebut akan pecah dan mengeluarkan cecair. Kemudian, ia akan menjadi kering sebelum sembuh sepenuhnya.Simptom lain yang ada adalah demam, hilang selera makan, sakit badan, letih dan mudah marah.
Chickenpox sangat mudah berjangkit
Virus varicella-zoster ini sangat mudah berjangkit melalui udara atau sentuhan langsung dengan cecair lepuh. Secara mudahnya, mereka yang tinggal di dalam satu bilik atau rumah dengan pesakit sangat mudah dijangkiti virus ini.
Lepuh dan gatal kebiasaannya akan berlaku dalam 10 hingga 21 hari selepas terdedah kepada virus. Tempoh paling berjangkit pula adalah 1 atau 2 hari sebelum simptom keluar. Oleh itu, virus sudah boleh menjangkiti orang lain walaupun sebelum ruam atau lepuh keluar.
Vaksin adalah cara pencegahan terbaik
Penyakit ini mempunyai vaksin. Ia dinamakan sebagai vaksin varicella yang diberikan sebanyak 2 dos semasa berumur 12 bulan diikuti dengan dos kedua 8 bulan selepasnya. Walau bagaimanapun, vaksin ini tidak termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP). Namun, ia masih boleh didapati di hospital kerajaan atau swasta dengan bayaran penuh.
Vaksin varicella adalah penting untuk bayi di bawah 2 tahun memandangkan lebih 90 peratus daripada kes adalah melibatkan umur ini. Kanak-kanak lain dan orang dewasa juga tidak terkecuali daripada dijangkiti virus varicella-zoster tetapi tidak sekerap bayi di bawah umur 2 tahun.
Simptom kebiasaannya hilang dalam tempoh seminggu
Selepas 5 hingga 10 hari, simptom kebiasaannya akan hilang. Dalam kebanyakan kes, rawatan di rumah sudah mencukupi.
Ubat seperti acetaminophen atau panadol boleh diberikan untuk mengurangkan demam dan rasa sakit. Tuam kulit dengan kain basah dan elakkan daripada menggaru ruam kerana ia akan meningkatkan risiko jangkitan kulit walaupun ia mungkin sangat gatal.
Antara komplikasi yang boleh berlaku adalah jangkitan paru-paru, dehidrasi, radang otak dan jangkitan bakteria. Namun, ia sangat jarang berlaku.
Sila bawa anak anda berjumpa doktor sekiranya:Demam panas melebihi 38.9°C.
Ruam merebak ke mata.
Kulit menjadi sangat merah, panas atau sakit.
Sesak nafas, pening kepala, batuk, muntah atau leher menjadi kejang.
Terdapat ahli rumah yang mempunyai imun lemah atau kurang daripada 6 bulan.
Monkeypox
Wabak cacar monyet atau penyakit monkeypox bukanlah sesuatu yang baharu. Malah, ia telah diisytiharkan endemik di beberapa buah negara. Walau bagaimanapun, apabila wabak ini mula tersebar dan muncul di kawasan lain yang tidak disangka, sedikit sebanyak ia menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat.
Di United Kingdom (UK), banyak kes baharu monkeypox telah dikesan. Wabak ini selalunya menjangkiti haiwan liar di Afrika. Jadi, bagaimana ia boleh merebak ke sana dan bolehkah ia dirawat?
Pada waktu ini, pakar di seluruh negara mula menggembleng tenaga untuk mengetahui bagaimana dan mengapa virus ini mula merebak. Mari ikuti penjelasan lanjut kami dalam artikel di bawah.
Cacar monyet merupakan sejenis virus zoonosis dengan simptom yang hampir sama menyerupai penyakit cacar. Namun, simptomnya tidak seserius cacar.
Malah, dalam kebanyakan kes, rata-rata penghidapnya akan sembuh dengan sendiri dan tidak akan dimasukkan ke hospital.
Buat masa ini, negara kita masih belum mencatatkan sebarang kes monkeypox. Namun, ini adalah 5 perkara mengenai penyakit monkeypox yang anda perlu tahu!
1. Cacar monyet berlaku disebabkan virus seakan-akan cacar
Cacar monyet berlaku disebabkan virus yang sama dan berkait rapat dengan cacar (smallpox). Virus cacar telah lama lenyap dari muka bumi.
Ini bukanlah kali pertama penyakit monkeypox dikesan. Sebenarnya, pada tahun 1958, ada dua kes wabak ‘seakan-akan’ cacar yang dikesan dalam kalangan monyet. Sebab itulah, penyakit ini diberi julkan monkeypox.
Manusia pertama yang dijangkiti adalah kanak-kanak berusia 9 tahun di Congo pada tahun 1970. Virus ini juga menjadi endemik di Afrika Tengah dan Afrika Barat.
Pada tahun 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan 4,594 kes disyaki monkeypox yang mencatatkan 171 kematian.
Ada dua jenis monkeypox – satu dikesan di Congo dan satu lagi di Afrika Barat. Strain yang dikesan di Afrika Baratlah yang menyebabkan wabak sekarang.
2. Menyebabkan nodus limfa membengkak pada seluruh badan
Simptom monkeypox akan mula muncul 5-13 hari selepas jangkitan. Walau bagaimanapun, simptom boleh mengambil masa hingga 21 hari untuk muncul.
Simptom awal cacar monyet ialah demam, sakit kepala, sakit otot, sakit belakang, nodus limfa membengkak, menggigil dan keletihan.
Apabila pesakit mulai demam, nodus limfa mereka akan membengkak dan menjadi ruam pada muka, tangan dan kaki sebelum merebak ke kawasan lain. Malah, ruam ini juga boleh terbentuk pada mata, di dalam mulut dan pada kawasan kemaluan.
Walaupun simptomnya akan semakin berkurang dalam masa sebulan, namun 1 daripada 10 kes selalunya memabawa maut, lebih-lebih lagi dalam kalangan kanak-kanak.
Setakat ini, masih tiada ubat untuk merawat monkeypox. Walau bagaimanapun, ada vaksin yang boleh diberikan untuk mencegah penyakit ini.
0 Ulasan